masa itu lebih baik dri emas

Thursday, April 30, 2009

Titipan Rindu Buat Abah

Abah,
Semalam adek mimpi jumpa abah. Abah datang tak bagi salam pun. Adek terkejut tengok abah dah ada kat belakang adek. Wangi dan bersih baju abah. Adek cium tangan abah. Adek nampak tangan abah bengkak. Abah mengaduh kesakitan. Sakit ye abah? Manalah adek tahu. Meh adek bubuh ubat. Abah senyum. Adek suka abah senyum. Adek seronok tengok abah datang tau! Adek dengar suara hati abah kata, abah datang sebab abah rindukan adek. Abah rindu sebab dah dua hari adek tak datang jenguk abah. Walaupun mulut abah tak gerak, adek tahu dan adek boleh dengar. Tiba-tiba adek nampak airmata abah mengalir kat pipi. Dan adek pun menangis, peluk abah sebab adek pun rindukan abah. Adek menangis beria-ia, teresak-esak abah, sampai Johan kejutkan Adek.

Adek cerita kat Johan yang abah datang dalam mimpi adek. Adek ceritakan semuanya pada dia. Dia janji nak bawa adek pergi tempat abah minggu depan. Tapi adek rasa lambat sangat. Adek telefon mak bagitahu tentang mimpi adek. Mak pun nangis. Mak kata mak akan pergi jenguk tempat abah dulu sebab adek jauh. Adek memang duduk jauh sangat sekarang ni abah. Pastu mak kata mak nak buat kenduri buat abah. Ramai kawan-kawan abah datang. Agaknya abah pun ada sama sebab adek ada bau wangi malam tu.

Abah,
Lama lepas tu adek terfikir tentang mimpi adek. Memang adek dah lama tak jenguk abah. Dah dua tahun. Itukah dua hari yang abah maksudkan? Adek minta ampun abah. Adek betul-betul tak berkesempatan menjenguk abah. Bukan adek sengaja. Adek terpaksa ikut Johan. Dia kan suami adek. Kan abah dah pesan kat adek supaya menjadi isteri yang baik dan taat pada suami!

Dan adek teringat pula tentang tangan abah yang bengkak. Adakah sebab adek tidak lagi mendoakan abah? Ada yang tak kena ke dengan perlakuan adek lalu abah yang menerima hukumannya?

Ampunkan adek sekali lagi abah. Adek terlupa pada pesan abah. Adek mengaku, adek ada buat salah. Adek dah lama tak sembahyang. Adek dah lama tak doakan kesejahteraan abah. Adek selalu saja abaikan waktu solat adek. Adek selalu saja lukakan hati mak. Dan adek mengaku, adek dah pandai tipu Johan. Tapi adek janji abah, adek akan berubah. Adek janji. Adek tak mahu abah menangis lagi. Adek tak mahu abah dihukum lagi kerana adek. Adek mahu abah datang dalam mimpi adek dengan senyuman dan tubuh badan yang sihat, bersih dan wangi macam hari tu. Bolehkan abah!

Abah,
Sejak abah datang dalam mimpi adek malam tu, abah tak datang lagi jenguk-jenguk adek walaupun adek dah pergi jenguk abah dan selalu doakan abah. Kenapa abah? Adek ada buat salah lagi ke? Abah dah tak sayangkan adek lagi? Atau abah marah sangat dengan adek? Atau apakah mimpi adek itu hanya mainan tidur adek saja? Sesungguhnya adek memang rindukan abah. Kalau boleh adek nak ikut abah sama. Tentu kak ngah seronok sebab dah dapat ikut abah. Entah bilalah adek boleh jumpa abah lagi.

Abah,
Adek rindukan abah. Rindu untuk cium lagi tangan dan pipi abah tiap kali raya. Adek tahu, mak pun rindukan abah, macam adek. Adek tak tahan tengok mak nangis bila teringatkan abah. Adek janji abah, adek takkan lukakan hati mak lagi. Ampunkan adek dan adek minta maaf banyak-banyak. Halalkan makan minum adik ye abah.

Adek nak masuk tidur. Adek harap dapat jumpa abah lagi malam ni. Sayang abah. Assalammualaikum abah.


Ya-Allah, ampunilah dosa-dosaku. Ampunilah jua dosa kedua ibubapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku sedari kecil lagi. Berikanlah mereka kesejahteraan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan sesungguhnya hanya kepada MU lah aku kembali. Amin.

Tiada Tuhan selain Engkau ya-Allah sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.

Hasil karya : tamu

No comments:

Post a Comment

 

Design by Amanda @ Blogger Buster