MARHALAH KEDUA
Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangn mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaan-Nya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada tanah dan air yang sama. Ia melahirkan bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama
“Begitulah perbuatan Allah s.w.t yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu”.
(Maksud an-Naml: 88)
Apakah ahli sains dengan teknologi canggih yang diciptanya mampu mencipta sebiji gandum (sebagai contoh) di makmal mereka; apbila ditanam dan disiram, akan menumbuhkan batang gandum? Sesungguhnya mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana menumbuhkan benih ciptaan Allah adalah rahsia Allah yang hanya diketahui-Nya. Manusia tidak mampu untuk menumbuhkan benih ciptaannya. Begitu juga sekiranya seluruh penduduk dunia bersatu untuk mencipta seekor lalat, mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana mencipta dan menghidupkan adalah hak kepunyaan Allah semata-mata. Begitulah seterusnya. Melalui perbicangan seumpama ini, dilakukan banyak kali dan memikirkan keunikan ciptaan Allah, Insya Allah akan
menjadikannya mengkagumi, mengagungi dan menyucikan Allah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan mereka memikirkan tentang perciptaan langit dan bumi seraya berkata: “Ya
Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau,
maka peliharalah kami dari seksa neraka”. (Ali Imran: 191)
Ayat ini menegaskan bahawa memikirkan penciptaan Allah menjadikan seseorang mengkagumi dan mengagungi Allah serta mendorong kepada mengingati hari akhirat, mengingati pembalasan yang akan diterima di sana, dan mendorong seseorang mukmin untuk memohon kepada Allah supaya menyelamatkannya daripada azab neraka. Begitulah, dengan membangkitkan keimanan kepada Allah, keimanan kepada Keesaan-Nya, keimanan kepada sifat kudrat dan kesempurnaan-Nya, hati akan mula hidup dengan mengenali Allah (Makrifatullah), sedar daripada kealpaannya dan bersedia untuk menyempurnakan keimanannya kepada hari akhirat dengan segala yang ada padanya; kebangkitan dari kubur, hisab dan balasan. Begitu juga, dia akan memahami tujuan kita diciptakan oleh Allah iaitu untuk beribadah kepada-Nya semata-mata. Dia tidak dapat menggambarkan bagaimana Allah menciptakan kita dengan sia sia; tanpa tujuan.
Boleh jadi berguna kalau kita menjelaskan kepadanya (mad’u) persoalan kemuliaan yang Allah berikan kepada anak cucu Nabi Adam a.s; kemuliaan hasul daripada pemberian roh kepada mereka. Kebanyakan manusia alpa dan lupa terhadap kehidupan di aspek ini, dan mereka hanya hidup di aspek penciptaan mereka daripada tanah dan memenuhi tuntutan badan. Mereka lupa dan alpa bahawa aqidah yang benar dan sejahtera adalah tuntutan asasi kepada roh; padanya terdapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Begitulah seterusnya, perbincangan berlegar di sekitar persoalan keimanan. Ketika persoalan ini hidup di jiwanya, dia akan mula menilai semula kehidupannya sebelum ini (muraja’ah). Dia akan merasakan bahawa sekiranya dia terus berada di tahap lama; alpa, mencuaikan kewajipan, melakukan maksiat dan tidak mentaati Allah, dirinya akan terdedah kepada azab Allah di hari akhirat; hari yang tiada tempat lari dan penyelamat. Ketika itu, dia akan mudah dipimpin dan diberi tunjuk ajar supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment